right klik

Saturday, August 7, 2010

PEMALU DAN MENYEMBUNYIKAN RAHSIA




Wahai ukhiti muslimah… Sebahagian dari akhlak seorang Islam yang sejati itu ialah pemalu dan menyimpankan segala rahsia dan cacat cela saudaranya. Tidak suka menyebarkan berita-berita buruk, fitnah atau tuduhan palsu yang bukan-bukan di dalam kehidupan bermasyarakat. Seorang wanita Muslimah itu sentiasa mengamalkan petunjuk-petunjuk Al-Quran dan sunnah Nabi yang mengancam bagi setiap manusia yang suka menyebarkan berita-berita palsu dan memburuk-burukkan  saudara-saudaranya. Ancaman itu adalah berupa keazaban dunia dan akhirat.

Firman Allah S.W.T. :

    “ Sesungguhnya orang yang ingin agar ( berita ) perbuatan yang keji itu tersiar di kalangan orang-orang beeriman,
    bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. ”
                                                                                                                                                                                                               ( An-Nur : 19 )

    Dari itu wahai Ukhti Muslimah, janganlah melepaskan lidahmu dalam menyebarkan berita-berita jahat dan tuduhan-tuduhan palsu di dalam masyarakat Islam, kerana dosanya sangat besar disisi Allah. Ali bin Abi Thalib r.a. pernah berkata:

    “ Yang membuat kejahatan dan orang yang menyebarkan beritanya, sama banyak dosanya. ”
( Riwayat Bukhari )

    Seorang Muslimah yang hidup di dalam masyarakat Islam, adalah penutup berita jahat dan tuduhan palsu. Dia pemalu dan tidak tergamak untuk berbuat dosa dan noda. Dia menpunyai akhlak mulia yang diperolehinya dari didikan Islam yang menghalanginya daripada melibatkan diri dari mengugat dan melukai kehormatan manusia. Dia memelihara lidahnya dari menyiarkan berita maksiat sama ada berita itu didengarnya dari orang lain atau dia melihatnya sendiri. Semuanya itu ditutupnya rapat-rapat kerana mengamalkan Hadis Rasulullah S.A.W.:

    “ Tiap-tiap umatku dimaafkan kecuali yang berterang-terangan. Yang dimaksudkan dengan berterang-terangan adalah   seorang lelaki yang  berbuat dosa pada waktu malam, padahal pada waktu pagi hari Allah telah menutup segala rahsianya,   lalu dia berkata: “ Hai pulan sesungguhnya   aku telah berbuat begini dan begini, ” padahal dia telah bermalam ditutup oleh Allah S.W.T. dan dia sendiri mendedahkan rahsia Allah S.W.T..”
( Muttafaq alaihi )

Sabdanya lagi:

    “ Tidak menutup seorang hamba akan seorang hamba didunia melainkan Allah S.W.T. menutupnya diakhirat,
     ( menutup rahsianya, menutup  cacat celanya ).”

    Wahai Ukhti Muslimah.. Sesungguhnya mengubati dan merawat kelemahan manusia bukanlah dengan cara mengintip kesalahannya, cacat celanya, mendedahkannya atau mengisytiharkannya. Sebaliknya hendaklah menerangkan kebenaran kepada pendengaran mereka dan membawa mereka supaya taat kepada Allah. Disamping itu pula menerangkan akibat buruk dari maksiat yang dilakukan. Semuanya itu hendaklah dilakukan dengan lemah-lembut, sebab hanya dengan lemah-lembut sahajalah boleh membuka pintu hati byang tertutup. Oleh kerana itu, Islam melarang kita mencari –cari kesalahan orang lain, sebagaimana firman Allah:

    “ Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain..”
( Al-Hujurat : 12 )

    Dalam satu riwayat dari Ibnu Abbas menceritakan bagaimana marahnya Rasulullah S.A.W. kepada mereka yang berseronok-seronok memperkatakan aib dan cacat cela dan suka mendedahkan rahsia manusia, dia berkata :  “ Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. dengan satu khutbah sehingga terdengar khutbah baginda kepada gadis-gadis di dalam bilik mereka lalu beliau bersabda :

    “ Hai sekalian orang yang beriman dengan lidahnya padahal belum masuk iman di hatinya janganlah kamu menyakiti  orang-orang mukmin dan jangankamu mencari-cari dan mengikuti aurat ( rahsia-rahsia mereka ) kerana sesungguhnya siapa yang mengekori aurat saudaranya yang muslim, Allah S.W.T. mendedahkan rahsianya dan barangsiapa mengekori auratnya, Allah S.W.T. membuka rahsianya sekalipun didalam rumahnya. ”
( HR. Tabrani )

    Dari keterangan hadis di atas ini, menjelaskan kepada kita, betapa besarnya dosa yang dilakukan oleh mereka-mereka yang suka membuka rahsia orang, atau dengan sengaja membuat berita-berita palsu, sehingga mereka dimasukkan oleh Rasulullah S.A.W. ke dalam golongan orang-orang yang kosong hatinya dari iman. Ini adalah dosa yang paling besar di sisi Allah S.W.T. yang barangkali selama ini disangkakan dosa kecil.

  Seteru

2 comments:

Pages